Kelihatan seorang lelaki yang memakai pelitup muka melintasi papan notis kesedaran penjarakan sosial sebagai langkah pencegahan Covid-19 di Chinatown, Singapura pada 13 April 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: 451 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 38,965

SINGAPURA, 10 JUN: Singapura yang kini memasuki minggu kedua Fasa Pertama ‘Pembukaan Semula Secara Selamat’ ekonominya, melaporkan 451 kes baharu Covid-19 hari ini dengan hanya tujuh kes penularan dalam komuniti.

Data setakat tengah hari ini menunjukkan sebahagian besar kes baharu itu melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama, menjadikan jumlah keseluruhan 38,965 kes.

Tiga daripada kes penularan dalam komuniti itu melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing, kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam kenyataan, hari ini.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Selasa, Singapura mengklasifikasikan 1,751 sebagai kes penularan dalam komuniti, 580 kes import dan 36,183 sebagai kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Secara keseluruhan, sebanyak 25,877 kes jangkitan Covid-19 atau kira-kira 68 peratus daripada jumlah kumulatif setakat semalam iaitu 38,514, telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti isolasi komuniti.

Setakat semalam, terdapat 248 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan tiga dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu, sebanyak 12,364 kes yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal tetapi diuji positif Covid-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini, sebanyak 25 orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 di republik itu.

Hanya satu kluster baharu dikenal pasti semalam melibatkan sebuah asrama di 145 Tuas View Square, sementara dua kluster – sebuah tapak pembinaan di Tanah Merah Coast Road dan asrama di 17C Tuas Road – kini ditutup kerana tidak ada lagi kes yang berkaitan dengan tempat-tempat itu untuk dua tempoh inkubasi lepas.

Singapura yang menarik balik sebahagian besar langkah pemutus rantaian yang ketat sejak 2 Jun lepas, memulakan pendekatan terkawal bagi menyambung semula aktiviti secara selamat menerusi tiga fasa iaitu Fasa Satu (Pembukaan Semula Secara Selamat), Fasa Dua (Peralihan Secara Selamat) dan Fasa Tiga (Negara Selamat).

– BERNAMA


Pengarang :