Anggota polis dan tentera mengawal jalan keluar masuk di pos kawalan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pentadbiran dilaksanakan di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 7 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: 4,627 penduduk Kuala Langat disaring, jumlah kes kekal sembilan

SHAH ALAM, 10 JUN: Jumlah kes Covid-19 di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni di Kuala Langat kekal sembilan selepas ujian saringan dibuat sejak 6 Jun lalu.

Setakat semalam, sebanyak 96 peratus keputusan saringan meliputi 4,447 penduduk diterima manakala 171 lagi belum diketahui, maklum pegawai daerah Kuala Langat.

“Saya ingin nasihatkan penduduk yang mendapat kebenaran keluar masuk supaya tidak merentas negeri sehingga 16 Jun selari arahan kerajaan seperti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan,” kata Mohd Jusni Hashim kepada SelangorKini.

Pada 3 Jun lalu, kedua-dua taman berkenaan dikenakan PKP Pentadbiran selepas 24 pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tinggal di situ positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.


Pengarang :