Pemain dari pasukan UiTM FC sedang memanaskan badan sebelum Perlawanan Bola Sepak Persahabatan Antarabangsa Kelab Australia di UiTM, Shah Alam pada 18 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Covid-19: AFL batal liga M3 musim 2020

PETALING JAYA, 8 Jun: Liga Bolasepak Amatur (AFL) membatalkan saingan Liga M3 musim 2020 yang berbaki 16 perlawanan atas faktor kesihatan dan kesan kewangan kelab susulan penularan Covid-19, kata pengerusinya.

Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata keputusan itu selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan ia berlangsung di padang yang menyukarkan kawalan.

“Kebanyakan pemain-pemain amatur adalah kakitangan kerajaan atau pihak swasta yang hanya boleh bermain pada hujung minggu sahaja iaitu diluar waktu kerja. Melihat kepada situasi ini, amat sukar untuk beberapa pasukan mematuhi SOP yang ketat jika liga kembali bersambung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata AFL sedang merancang langkah terbaik bagi membantu semua kelab berstatus amatur ini meneruskan musim tahun hadapan tambahan penaja pasukan tidak menyambung kontrak malah ada yang terpaksa undur diri disebabkan kerugian ekoran pandemik Covid-19.

Liga Malaysia musim ini masih ditangguhkan sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dan dijangka bersambung jika mendapat kelulusan MKN.


Pengarang :