Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19 catat 31 kes baharu, hanya satu babit warganegara

SHAH ALAM, 11 JUN: Bilangan kes baharu Covid-19 naik semula dua digit iaitu 31 dengan hanya satu kes membabitkan rakyat tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 11 adalah kes import manakala selebihnya penularan dalam negara.

“Hanya satu kes membabitkan warganegara iaitu kes saringan pusat tahfiz di Selangor,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, kes bukan warganegara membabitkan kluster Pedas, Negeri Sembilan (16); Kampung Sungai Lui, Selangor (1); kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur (1) dan kes saringan pekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1).

Dr Noor Hisham berkata seramai 51 pesakit lagi berjaya sembuh menjadikan jumlah yang pulih sebanyak 7,065 kes atau 84.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Lima kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan tiada yang memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian kekal 118 orang,” katanya.

Keseluruhannya, Malaysia mencatatkan 8,369 kes dengan 1,186 kes aktif kebolehjangkitan.


Pengarang :