Darah palsu dilihat dalam tiub ujian dengan label Covid-19 dalam ilustrasi yang diambil pada 17 Mac 2020. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19 catat tiga kes baharu, tiada kematian

SHAH ALAM, 29 JUN: Hanya tiga kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini membabitkan kes import dan penularan dalam negara, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata satu kes import mendapat jangkitan di luar negara manakala dua lagi merupakan penularan tempatan di Selangor dan Sabah.

“Kes di Selangor dikesan ketika melakukan saringan pra-prosedur barah darah manakala kes di Sabah dikesan ketika saringan tempat kerja di sebuah pasar di Sandakan.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes dirawat di unit rawatan rapi dan satu memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Keseluruhannya, sebanyak 8,637 kes Covid-19 dicatatkan sehingga kini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 16 pesakit lagi berjaya sembuh dan discaj menjadikan bilangan yang pulih sebanyak 8,334 kes atau 96.5 peratus dari keseluruhan kes.

Beliau berkata sebanyak 182 kes aktif direkodkan dan pesakit diasing serta diberi rawatan.

“Tiada pertambahan kes kematian hari ini, justeru jumlah kumulatif kekal 121 kes atau 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya lagi.


Pengarang :