PENDAPATRENCANA

Covid-19 dan penyelesaian sukar kadar faedah

Oleh Aishah Afandi

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Kadar faedah memainkan peranan penting dalam sistem kewangan. Sebagai faktor utama dalam menentukan daya tarikan aset di seluruh dunia, ia dipantau dengan rapat oleh penganalisis, ahli ekonomi serta pelabur.

Bagaimanapun, ketika pandemik Covid-19 menjejaskan dengan teruk ekonomi global dan menyebabkan negara-negara jatuh ke dalam kemelesetan, bank-bank pusat di seluruh dunia telah mengambil langkah menurunkan kadar faedah untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna dan mudah tunai kewangan.

Jadi, bagaimanakah sebenarnya cara ia berfungsi?

Kita ambil contoh pinjaman perumahan. Biasanya, kadar faedah ke atas gadai janji berada antara 4.0 peratus dan 4.5 peratus, bergantung kepada bank, tetapi apabila bank pusat menurunkan kadar, pinjaman menjadi murah dan dengan itu lebih berpatutan.

Sehubungan itu, pengguna akan mempunyai wang tambahan yang membolehkan mereka membelanjakannya dan seterusnya membantu menyokong pertumbuhan ekonomi.

Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa penurunan kadar faedah hanya berfungsi sebagai langkah tambahan oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi.

Memandangkan pandemik itu telah menjadi krisis global, kerajaan di seluruh dunia telah menyuntik bertrilion dolar ke dalam ekonomi masing-masing dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kerajaan, subsidi upah, pemotongan cukai dan moratorium.

Di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi iaitu Pakej Rangsang Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bernilai RM35 bilion bagi menjana semula ekonomi tempatan.

Langkah-Langkah Global

Amerika Syarikat: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) telah menurunkan kadar faedahnya kepada hampir sifar susulan pandemik Covid-19 yang menyebabkan aktiviti perniagaan terbantut.

Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata kadar faedah rendah itu dijangka kekal sehingga 2022 sehingga ekonomi pulih daripada pandemik tersebut.

England: Bank of England mengekalkan kadar faedahnya pada 0.1 peratus bulan ini selepas menurunkannya pada Mac. Terdapat ura-ura dalam kalangan ahli ekonomi yang kuasa besar ekonomi itu dijangka mengambil pendekatan kadar faedah negatif.

Bank pusat itu juga mengumumkan pakej rangsangan bernilai £100 bilion bagi membantu ekonomi United Kingdom mendepani impak Covid-19.

Eropah: Bank Pusat Eropah menurunkan kadar faedahnya kepada 0.5 peratus pada April apabila pandemik tersebut menjejaskan ekonomi rantau itu.

Bank pusat itu meminjamkan 1.3 trilion euro kepada bank-bank zon Eropah pada kadar faedah negatif sehingga serendah -1.0 peratus, dengan syarat bank-bank terus memberi pinjaman kepada perniagaan.

Rusia: Rusia mengurangkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 100 mata asas kepada 4.50 peratus pada Jumaat — paras terendah sejak era pra-Soviet apabila bank pusatnya merasakan keperluan untuk menurunkan perbelanjaan berian kredit berikutan penguncupan ekonominya.

Indonesia: Bank pusat republik itu mengurangkan kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas kepada 4.25 peratus minggu lepas selepas mengekalkannya pada 4.5 peratus dalam tempoh tiga bulan lepas sejajar dengan kadar inflasi terendah negara itu dalam tempoh hampir dua dekad.

Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo berkata penurunan kadar itu menyediakan rangsangan yang amat diperlukan bagi pemulihan ekonomi di tengah-tengah penularan pandemik tersebut.

Thailand: Bank pusat negara itu memperkenalkan langkah-langkah bantuan hutang tambahan termasuk penurunan kadar faedah sebanyak dua hingga empat mata peratusan bagi kad kredit dan pinjaman peribadi semasa penularan pandemik itu.

Sudut Pandangan Malaysia

Ketua Ahli Ekonomi Ambank Group Dr Anthony Dass berkata terdapat kemungkinan besar Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan 50 mata asas lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Julai depan.

“Pengurangan itu akan memberi lonjakan yang diperlukan bagi pemulihan ekonomi berikutan penularan Covid-19.

“Ini akan membantu menstabilkan ekonomi negara selain mendorong kejayaan pakej rangsangan ekonomi termasuk pelan Pemulihan Ekonomi Negara,” katanya.

Dass yang juga anggota Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi, juga menyifatkan tindakan mengurangkan OPR itu sebagai bertepatan ketika kerajaan menyasarkan untuk mendapatkan pinjaman berjumlah RM35 bilion menerusi pinjaman dalam negara bagi membiayai peningkatan defisit.

“Mudah tunai dalam pasaran pinjaman tempatan adalah mencukupi ketika ini. Selain itu, tiada sebarang tekanan inflasi pada masa ini,” katanya.

Langkah pengurangan 50 mata asas kepada 2.0 peratus pada Mei lepas telah menjadikan OPR Malaysia yang terendah sejak Krisis Kewangan Global pada 2008-2009.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengadakan mesyuarat keempatnya pada 7 Julai depan.

Seorang lagi penganalisis berkata langkah pengurangan OPR yang akan diputuskan pada mesyuarat tersebut juga dijangka dapat merangsang mudah tunai kewangan dalam suku akan datang berikutan kadar pengangguran yang kian meningkat akibat impak Covid-19.

“Sejajar dengan jangkaan Bank Dunia dan BNM mengenai kemelesetan pada tahun ini akibat pandemik global itu, adalah penting untuk memastikan pengguna mempunyai mudah tunai mencukupi bagi mengelak kuasa beli mereka terjejas selain membolehkan perniagaan terus beroperasi,” katanya.

Menurutnya, kadar faedah yang rendah pada masa ini mungkin memberi kesan terhadap simpanan deposit tetap namun ia lebih bersifat jangka pendek kerana ekonomi diunjur pulih pada tahun depan.

-BERNAMA


Pengarang :