Pengunjung perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi SELangkah atau MySejahtera sebelum memasuki medan selera di pusat membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 12 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Kes baharu di Selangor kembali catat dua digit

SHAH ALAM, 12 JUN: Kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini naik semula kepada dua digit apabila merekodkan 13 kes selepas empat hari berturut-turut mencatatkan satu angka.

Negeri ini semalam merekodkan tiga kes manakala sifar kes dilaporkan kelmarin dan tiga kes pada dua hari sebelumnya.

Menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) tiga daripada kes baharu hari ini mendapat jangkitan dari Mesir manakala satu kes masing-masing Indonesia, Dubai dan Korea.

“Tujuh kes penularan tempatan pula membabitkan saringan Penjara Kajang (empat), saringan Pusat Tahfiz Qasimul Ulum (dua) dan saringan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Pusat Koreksional Puncak Alam (satu),” menurut data berkenaan.

Keseluruhannya, sebanyak 1,987 kes dicatatkan dengan 178 daripadanya aktif.

Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 1,675 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital manakala angka korban kekal 23 orang.

Sementara itu, dua daerah di negeri ini masih diklasifikasikan sebagai zon merah dengan Sepang mencatat 68 kes aktif dan Hulu Langat (62).

Tujuh daerah lain berada dalam zon kuning iaitu Gombak (15), Petaling (13), Kuala Langat (12), Kuala Selangor (empat), Hulu Selangor (dua), Klang (satu) dan Sabak Bernam (satu).


Pengarang :