Selangorkini
Seorang anggota polis memasang poster kesihatan berhubung Covid-19 di stesen kereta api Tanyong Mat di wilayah selatan Narathiwat, Thailand pada 11 Jun 2020 selepas perkhidmatan itu kembali beroperasi. Foto AFP
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kes global lepasi 10 juta, angka korban hampiri 500,000

PARIS, 29 JUN: Sekurang-kurangnya seramai 499,510 penduduk dunia menjadi korban Covid-19 sejak virus itu mula dikesan di China pada Disember lalu.

Sekurang-kurangnya 10,058,010 kes jangkitan direkodkan di 196 negara dan wilayah dengan sekurang-kurangnya 4,998,900 kes sembuh, lapor AFP.

Data dikumpul daripada pihak berkuasa negara dan maklumat disalurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu bagaimanapun dipercayai hanya mewakili sebahagian daripada jumlah sebenar yang terkesan.

Ini kerana kebanyakan negara hanya menjalankan ujian ke atas individu bergejala dan kes serius.

Sebanyak 4,059 kematian dan 173,156 kes direkodkan di seluruh dunia pada Ahad.

Negara yang merekodkan kematian tertinggi dalam tempoh 24 jam adalah Brazil dengan 1,109 kematian diikuti Mexico (602) dan Amerika Syarikat (AS) (454).

AS yang menjadi negara paling teruk terjejas setakat ini merekodkan 125,709 kematian daripada 2,534,981 kes. Sekurang-kurangnya 679,308 orang disahkan pulih.

Brazil menjadi negara kedua paling teruk dengan 57,070 kematian daripada 1,313,667 kes; United Kingdom (UK) (43,550 kematian daripada 311,151 kes); Itali (34,738 kematian daripada 240,310 kes) dan Perancis (29,778 kematian daripada 199,343 kes).

Sementara itu Belgium menjadi negara paling tinggi merekodkan kadar kematian berbanding populasi negara itu dengan 84 kematian per 100,000 penduduk diikuti UK (64), Sepanyol (61), Itali (57) dan Sweden (52).


Pengarang :