Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada 26 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Lebih 96 peratus sembuh, antara tertinggi di Asean

SHAH ALAM, 26 JUN: Kadar sembuh kes Covid-19 di Malaysia mencatatkan 96.4 peratus, antara tertinggi di Asean, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar kematian juga antara terendah di seluruh dunia iaitu 1.41 peratus dan tiada kes dilaporkan sejak 12 hari lalu.

“Genap 17 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan dilaksanakan, kes harian mencapai satu angka selama empat hari berturut-turut mulai 23 Jun lalu, malah penularan dalam kalangan rakyat tempatan menurun.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 juga menurun setiap hari. Untuk pertama kali sejak PKP dikuatkuasakan, kes aktif kurang 200 pada hari ini,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak enam kes dilaporkan hari ini dengan jumlah keseluruhan 8,606 kes dan kebolehjangkitan 191 kes.

Katanya, lima daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan empat warganegara dan satu bukan warganegara yang masuk atas urusan kerja.

“Sebanyak 23 pesakit lagi pulih menjadikan jumlah kumulatif sembuh 8,294 kes. Dua kes dirawat di unit rawatan rapi dan tiada memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian juga kekal 121,” katanya.


Pengarang :