Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Pertama kali tiada kes baharu di Selangor

SHAH ALAM, 10 JUN: Tiada kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini buat pertama kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Khabar gembira itu turut dikongsi Dato’ Menteri Besar yang berharap rakyat kekal mengamalkan penjarakan sosial dan terus berdisiplin kerana wabak masih berada di sekeliling.

“Alhamdulillah pertama kali Selangor mencatat tiada kes baharu, baik kes tempatan mahupun import. Tahniah rakyat Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Sehingga kini 1,971 kes direkodkan di negeri ini dan jumlah tertinggi keseluruhan dicatatkan Kuala Lumpur dengan 2,398 kes.

Hanya dua kes baharu dilaporkan di Malaysia sehingga jam 12 tengah hari tadi membabitkan kes import dan saringan kontak rapat di Kuching, Sarawak menjadikan keseluruhan adalah 8,338 kes.

Bagaimanapun, pertambahan satu kes kematian membabitkan warga tempatan berusia 61 tahun yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan jumlah kes kini meningkat 118.


Pengarang :