AGENDAGLOBAL

Covid-19: Singapura catat kematian ke-25

SINGAPURA, 7 JUN: Singapura yang merekodkan 344 kes baharu semalam, melaporkan satu lagi kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kepada 25.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi memaklumkan, kematian terbaharu itu melibatkan lelaki warga China berusia 41 tahun yang meninggal dunia pada 4 Jun lepas.

Dikenali sebagai Kes 11714, mangsa disahkan dijangkiti Covid-19 pada 22 April.

Menurut kementerian itu, lelaki itu telah sembuh daripada jangkitan itu dan dibenarkan keluar hospital pada 17 Mei tetapi jatuh pengsan pada 4 Jun dan koroner mengesahkan sebab kematian adalah tromboembolisme paru-paru berikutan jangkitan SARS-CoV-2.

Singapura melaporkan kematian akibat Covid-19 yang pertama pada 21 Mac.

Setakat semalam, 350 kes jangkitan Covid-19 dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan komuniti, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 24,559 atau 66 peratus daripada 37,527 pesakit sembuh sepenuhnya.

Pada masa ini, terdapat 308 kes disahkan masih berada di hospital dengan empat dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Kementerian itu memberitahu 12,635 kes yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal baik tetapi positif ujian Covid-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

-BERNAMA


Pengarang :