Seorang anggota polis memasang poster kesihatan berhubung Covid-19 di stesen kereta api Tanyong Mat di wilayah selatan Narathiwat, Thailand pada 11 Jun 2020 selepas perkhidmatan itu kembali beroperasi. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Thailand rancang buka pintu kepada pelawat perubatan

BANGKOK, 15 JUN: Thailand merancang untuk membuka pintu masuknya kepada 1,000 pelawat perubatan dan perniagaan dalam sehari dengan mewujudkan “travel bubble” atau “koridor perjalanan” dengan negara yang berjaya membendung pandemik Covid-19.

Dengan Thailand merekodkan hari ke-20 tanpa jangkitan tempatan, empat kementerian — Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan Awam dan Kementerian Belia dan Sukan sudah merangka pelan koridor perjalanan dan dijangka mengemukakan pelan itu kepada Pusat Pentadbiran bagi Situasi Covid-19 (CCSA) pada 17 Jun ini.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Trisuree Traisoranakul berkata “koridor perjalanan” menyasarkan untuk melonjakkan industri pelancongan dan mengurangkan kesan kelembapan ekonomi ekoran pandemik itu.

“Jika pelan ini (koridor perjalanan) berjalan lancar, Thailand akan membuka semula pintu masuknya kepada lebih banyak pelancong dari negara lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah pelan koridor perjalanan, Trisuree berkata pelawat perubatan dan perniagaan dari negara terpilih yang berjaya membendung penularan wabak tidak perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Bagaimanapun, beliau berkata pelawat berkenaan mesti bebas daripada virus yang membawa maut itu.

Pada Jumaat, Jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha bersetuju daripada segi prinsip terhadap koridor perjalanan itu.

Beliau berkata sektor pelancongan boleh dibuka semula kepada pelancong dari negara seperti China, Hong Kong, Taiwan, Macau, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Laos, Myanmar, Kemboja dan beberapa negara Timur Tengah.

Sementara itu CCSA berkata seorang wanita Thai yang kembali dari Amerika Syarikat adalah pesakit terkini Covid-19 di negara itu, menjadikan jumlah kes keseluruhan kepada 3,135 dengan tiada jangkitan tempatan.

Tiada laporan kematian dan jumlah korban kekal 58 dalam tempoh 24 jam lepas.

Penuntut berusia 25 tahun itu tiba di Thailand pada 8 Jun lepas. Dia tidak menunjukkan sebarang gejala Covid-19 dan menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti kerajaan.

Sejak 3 April sehingga semalam, sebanyak 38,944 rakyat Thailand kembali dari luar negara dan menjalani kuarantin selama 14 hari di fasiliti kerajaan.

“Sejumlah 28,746 yang kembali sudah selesai dikuarantin. Setakat ini, 198 yang kembali didapati positif Covid-19,” kata kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :