Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat yang hadir membuat saringan Covid-19 pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan secara pentadbiran di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Usaha menyeluruh kekang jangkitan dalam kalangan migran

PUTRAJAYA, 4 JUN: Satu pendekatan menyeluruh diperlukan bagi menyelesaikan dan mencegah jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing termasuk pendatang tanpa izin.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pendekatan seumpama itu memerlukan kerjasama daripada pelbagai agensi dan pihak.

“Apabila kami melihat pekerja asing, kami melihatnya secara menyeluruh dalam mendekati isu ini. Kami berharap untuk menggunakan satu pendekatan melibatkan pelbagai agensi bagi pekerja asing (isu Covid-19).

(Ia melibatkan) keseluruhan kerajaan dan masyarakat, baharulah kami boleh menangani perkara ini. Kami juga mesti melihat kepada langkah pencegahan berkaitan dan penjagaan kebersihan diri juga penting,” kata beliau semasa sidang media harian mengenai Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah membincangkan isu sel yang sesak di Depot Tahanan Imigresen (DTI) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA

Mengenai isu peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan tahanan di depot, beliau berkata ia meningkat selepas keputusan pensampelan kedua diperoleh dan mereka yang disahkan positif telah diasingkan.

“Kumpulan ini sudah terdedah kepada pesakit yang positif tetapi mereka masih lagi negatif sebelum itu. Jadi kami perlu mengkuarantin mereka … kami telah mengenal pasti mereka dan diletakkan dalam satu blok (bangunan).

Tetapi apabila kami mengkuarantin mereka selama 14 hari, kami perlu ambil sampel mereka sekali lagi. Pensampelan kedua yang menunjukkan mereka positif kerana telah terdedah dan merupakan kontak rapat kepada seorang pesakit positif seperti rakan sekerja dan semuanya,“ kata beliau.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menafikan bekalan kit ujian pantas antigen dari Korea Selatan telah susut sebaliknya menegaskan KKM masih mempunyai sekitar 190,000 kit ujian itu.

“Kita telah menggunakan 8,000 kit ujian pantas ini dalam saringan Covid-19, malah di KKM sendiri pun masih ada 50,000 kit lagi dan selebihnya kita dah agihkan ke Sabah, Sarawak, sempadan darat di Johor Bahru dan di pintu masuk utama negara di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2),” katanya.

Menurutnya, perolehan baharu akan dibuat sekiranya kit ujian pantas antigen diperlukan lagi.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata terdapat penurunan kes denggi sebanyak 11.7 peratus kepada 46,938 kes dalam lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata dalam tempoh sama tahun lepas, kes denggi yang direkodkan adalah sebanyak 53,187.

Menurut beliau, KKM sentiasa memantau kes denggi, mengambil langkah pencegahan dan memberikan rawatan walaupun negara sekarang berhadapan dengan Covid-19.

“Hanya kerana Covid-19, jangan lupa kes denggi masih ada. Kami belum lagi menyaksikan peningkatan kes denggi. Jika kami melihat ada peningkatan pelan tindakan akan dilaksanakan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :