BUDAYARENCANA

Dataran

Oleh Ismail Hashim

 

PANGSAPURI itu ditelan perut bumi pada satu senja yang bening dan berlaku kehancurannya dalam tempoh beberapa saat sahaja. Pangsapuri ini terletak berhampiran pantai perkelahan. Kedengaran bunyinya prap, prap, prap dan laungan penghuni yang meminta pertolongan sebelum struktur bangunan pangsapuri itu menyembah bumi. Suara ombak beralun menarik sisa-sisa bangunan ke tengah lautan. Ia bagaikan disedut kuasa graviti ke dalam perut bumi. Permukaannya bertukar menjadi dataran lapang seperti padang jarak padang tekukur.

Semenjak kejadian itu, kedengaran bunyi tangisan sendu dari waris-waris yang meratap kesal atas kehilangan tidak bernisan ibu dan bapa mereka. Satu kejadian aneh telah berlaku di tempat kejadian apabila muncul satu vakum besar dari bawah permukaan dataran itu. Saiz vakum itu adalah 1000mm x 1000mm.

“Vakum ini berfungsi menyedut roh mereka yang terlibat kejadian runtuhan pangsapuri. Mereka yang berada di atas permukaan boleh nampak roh-roh pewaris mereka,  keluar dari corong vakum dan mereka hanya perlu bersabar menunggu giliran mereka,” ujar seorang lelaki berketayap putih.

Roh itu akan datang kepada mereka dan waris-waris boleh berbual-bual dengan gemulah waima menyatakan rasa sedih mahupun rasa kesal kerana mengabaikan tanggungjawab mereka. Namun, pertemuan mereka itu bersifat one-off – hanya sekali, dan setelah tamat senarai menunggu waris-waris, vakum akan hilang dari dataran dengan sendirinya. Ini mengelakkan vakum itu menyumbangkan kepercayaan khurafat di dataran itu.

Pihak berkuasa tempatan memasang reben keselamatan berjalur hitam-merah bagi menghalang orang ramai keluar-masuk ke dataran tersebut. Hanya pewaris tertentu diberi kebenaran melalui surat bertulis namun tidak dibenarkan meratap hiba kepada si mati, kata wakil pihak Majlis Perbandaran Kota Raya. Dan, suara warga maya bagaikan petir menyambar perasaan pewaris-pewaris yang berada dalam keadaan dukacita susulan kejadian tersebut.

“Mereka rasa diri mereka tidak dipedulikan, sebab itulah kejadian seperti ini berlaku. Tuhan itu Maha Mengetahui, seolah-olah mahu menyedarkan anak-anak mereka.”

Ada yang mengadakan pemujaan secara ritual. Mereka yang beragama Islam melaksanakan solat jenazah ghaib ke atas penghuni-penghuni pangsapuri yang terkorban. Semakin lama, semakin ramai berkumpul. Apabila semakin ramai berkumpul, ada bermacam-macam cadangan dilahirkan dan mahu cadangan mereka diberikan perhatian.

“Kita seharusnya mendoakan roh si mati supaya berada dalam kalangan mereka yang beriman,” ujar Mohsen.

“Setakat doa saja tak mencukupi,” tempelak Jeman.

“Apa maksud kau?” soal Sahak.

“Kita harus rajin bersedekah untuk roh-roh gemulah si mati itu,” terang Jeman.

“Banyak duit kau nak bersedekah?” sindir Sahak.

Mohsen, Jeman dan Sahak adalah pewaris kepada mangsa yang terkorban. Sejak tadi Mohsen mendiamkan diri dan mengunyah pandangan-pandangan Jeman.

“Tak semestinya bersedekah dengan wang yang banyak. Kita boleh sahaja menghulurkan makanan dan minuman kepada pengunjung yang datang ke tapak ini. Ganjaran sedekah itu mendatangkan pahala. Pahala yang dapat itu kita pulang kepada roh-roh si mati,” terang Mohsen.

Berhadapan jalan masuk ke sana telah diadakan demonstrasi secara aman membawa kain rentang meminta pihak pemerintah menyiasat punca keruntuhan bangunan pangsapuri kediaman warga emas itu. Mereka mahu mencari punca bagaimana bangunan pangsapuri warga emas setinggi tiga puluh tingkat itu boleh tenggelam secara tiba-tiba tanpa ada petanda-petanda awal munasabah.

Fikir mereka dengan adanya petanda-petanda ini, bolehlah mereka mengambil langkah awal, terutamanya memindahkan warga emas itu ke kawasan yang lebih selamat. Beberapa orang saksi yang ditemui mengatakan pada malam kejadian ada kedengaran jeritan suara warga emas meminta tolong. Jeritan itu diselang-seli dengan muzik rancak bagi tujuan mengelirukan jeritan suara si warga emas.

Petang itu, Mohsen membuka but keretanya. Jeman dan Sahak membantu Mohsen mengagih-agihkan makanan yang berbungkus dengan botol air mineral 500ml kepada mereka yang berada di sekitar dataran. Ada sekumpulan pewaris telah pun melantik peguam untuk menyaman kontraktor utama pembinaan projek pangsapuri ini kerana menggunakan bahan-bahan pasang siap (prefab components) yang tidak mengikuti spesifikasi lukisan dan pemasangan komponen struktur di tapak.

Ada yang menuduh pihak kontraktor utama tidak menyelia pembinaan pangsapuri warga emas itu dengan berkesan, serta tidak melantik tenaga profesional yang secukupnya kerana mahu menjimatkan kos pengurusan. Ada pula waris menuduh pihak kontraktor utama memenangi tawaran kontrak menggunakan ‘kabel besar’ dalam memenangi tawaran tender projek pangsapuri berkenaan.

Kontraktor utama telah mencari pembelaannya dengan melantik juruperunding bertauliah dan berwibawa bagi membentangkan bukti-bukti yang sahih lagi kukuh bahawa bangunan pangsapuri itu memang selamat digunakan, dan kejadian yang berlaku bukanlah berpunca dari faktor-faktor teknikal tetapi akibat bencana alam. Beberapa minggu kemudian, pihak juruperunding mengeluarkan kenyataan; punca keretakan pada lantai bumi pada lokasi bangunan ini didirikan adalah akibat kuasa tarikan graviti secara menegak yang kuat menarik pangsapuri itu ke perut bumi.

“Kalau saya tak menghantar emak saya ke sana…sudah tentu…mak saya masih hidup. Kini mak saya… meninggal dunia tanpa bernisan,” ujar Mohsen.

“Aku nak jaga mak aku bagaimana? Kami bekerja, manalah ada masa. Setiap minggu kita ke pangsapuri itu menziarahinya dan membawanya pulang ke rumah,” kata Jeman pula.

“Perkara itu dah lama saya faham, tapi apa yang membuatkan hati saya rasa terkilan ialah tidak dapat berjumpa dengan emak saya buat kali terakhir,” jelas Sahak.

“Kita tunggulah keputusan juruperunding tentang punca keruntuhan pangsapuri itu. Dan sekiranya pihak kerajaan mahu menutup kes ini, terserahlah, asalkan kita dapat pampasan untuk pewaris kerana pihak kontraktor utama menyediakan pangsapuri yang tidak sempurna menjurus kepada kemalangan tersebut,” terang Mohsen.

Mohsen, Jeman dan Sahak masih menunggu keputusan juruperunding tentang punca runtuhnya bangunan pangsapuri 30 tingkat itu yang kesemua penghuninya terdiri daripada warga emas.

“Keputusan akan diumumkan malam ini. Cukuplah tempoh kita tinggal di dataran ini. Selepas pihak juruperunding mengumumkan keputusan bagi pihak kontraktor, adalah lebih baik kita buat kenduri arwah dan bacaan Yasin buat mak. Kita pun dah lama tak pulang ke rumah,” ujar Mohsen.

Setelah menunggu sekian lama, pengumuman bangunan runtuh di dataran diumumkan pengerusi jawatankuasa perunding dan bunyi keputusan itu:-

“Juruperunding yang dilantik mengesahkan tidak ada kecacatan berlaku pada pangsapuri. Punca runtuhan adalah pergerakan yang berlaku pada kerak bumi termasuk gelinciran dan ancaman tarikan graviti pada lokasi yang menegak dengan kedudukan pangsapuri ini, menyebabkan berlakunya keruntuhan bangunan ini. Kejadian ini disifatkan sebagai bencana alam. Para waris tidak layak menuntut sebarang ganti rugi.”

Mohsen, Jeman dan Sahak terdiam sejenak. Fikiran mereka semakin terancam setelah mendengar penjelasan pengerusi jawatankuasa.

 


Pengarang :