Suasana pasar malam di Seksyen 6, Shah Alam yang dibenarkan beroperasi pada 16 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Dua PBT puas hati pasar pagi dan malam ikut SOP

SHAH ALAM, 23 JUN: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini berpuas hati terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan peniaga dan pengunjung di pasar pagi dan malam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam berkata semua peniaga mengikut giliran waktu operasi dan menjaga jarak sosial.

“Pengunjung juga peka dengan SOP dan mendaftar aplikasi SELangkah atau menulis maklumat diri sebelum masuk ke pasar. Kita harap mereka sentiasa beri kerjasama supaya pasar pagi dan malam di Shah Alam boleh terus beroperasi,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang Norfiza Mahfiz memaklumkan keadaan di pasar pagi dan malam terkawal malah pengunjung mengikut arahan tidak membawa kanak-kanak.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Daerah Sabak Bernam Noraini Ahmad berkata pihaknya masih dalam peringkat penyusunan semula tapak dan penjarakan sosial di pasar.

“Kita belum sampai kepada tahap pematuhan dan penguatkuasaan SOP kerana masih menyusun jarak antara gerai, malah pengunjung juga tidak ramai kerana Sabak Bernam hanya pekan kecil,” jelasnya.

Selangor memutuskan operasi pasar pagi, pasar malam dan bazaria dibuka secara berperingkat di lokasi terpilih mulai 15 Jun lalu mengikut ketetapan PBT.


Pengarang :