Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat yang hadir membuat saringan Covid-19 di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua penduduk Taman Langat positif Covid-19, lebih 4,000 disaring

SHAH ALAM, 5 JUN: Dua penduduk dari dua taman di Kuala Langat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran disahkan positif Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata lapan lagi kes positif membabitkan pekerja syarikat pembersihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun berada di luar kawasan tersebut.

“Ada 20 kes positif (dilaporkan minggu lalu) menjadikan jumlah keseluruhan 30 kes. Setakat ini sebanyak 4,454 individu sudah disaring,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, penduduk disyaki terdedah kes positif atau kawasan mencatatkan peningkatan kes juga akan disaring.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim ketika dihubungi berkata satu kes positif membabitkan kanak-kanak berusia dua tahun.

“Kedua-dua kes dihantar ke hospital untuk rawatan dan punca jangkitan sedang disiasat,” katanya.

Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP pentadbiran susulan 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan dan tinggal di situ, disahkan positif Covid-19 Khamis lalu.

Bagaimanapun, penduduk dibenarkan keluar masuk kerana pelaksanaan PKP di situ berbeza di tempat lain seperti Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang.


Pengarang :