EXCOSELANGOR

EXCO: Elak banjir berulang, empat ban Sungai Labu dikukuhkan

SEPANG, 23 JUN: Empat ban di Sungai Labu yang pecah sehingga mengakibatkan beberapa kampung sekitar Salak Tinggi dinaiki air akan dikukuhkan dalam masa terdekat.

EXCO insfrastruktur dan kemudahan awam berkata, kaedah terbaik sedang diteliti untuk penyelesaian jangka pendek masalah banjir di situ.

“Ban ini berada di ‘corner’. Bila air banyak dan alirannya laju, ban tak dapat tampung dan pecah sebab tak kukuh..air akan melimpah,” kata Ir Izham Hashim selepas melawat 206 mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Lanjut, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Selangor, Datuk Gapar Asan meninjau keadaan ban Sungai Labu di Kampung Giching.

Menurut Ir Izham untuk proses jangka panjang mengelak kejadian banjir, projek tebatan bernilai RM17 juta di Selangor turut akan dilakukan di Sungai Labu dan dijangka siap hujung tahun ini.

Ia membabitkan proses meninggikan ban serta pembinaan rumah pam di hilir sungai yang berfungsi mengepam air sekiranya banjir berlaku.

“Projek ini berjalan tetapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Mac lalu, projek tergendala. Kerja disambung dan berkemungkinan siap pada Mac tahun hadapan,” katanya.

Semalam, seramai 53 keluarga dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air yang dipercayai melimpah dari Sungai Labu.


Pengarang :