Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Pinda segera Akta Pengangkutan Jalan, dakwa pemandu mabuk

SHAH ALAM, 3 JUN: Selangor menggesa Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda segera bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata perkara tersebut tidak boleh ditangguh kerana ia tidak dibentangkan pada sesi Parlimen Mei lalu dan kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk semakin meningkat.

“Kerajaan Negeri juga berharap tingkah laku seperti bermain telefon ketika memandu, memandu melebihi had kelajuan dan berlumba atas jalan raya akan diteliti kerana banyak kes kemalangan disebabkan sikap pemandu yang tidak beretika,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebanyak sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk direkodkan dalam tempoh lima bulan tahun ini, berbanding jumlah sama pada Januari hingga Disember tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata angka tersebut membimbangkan dan tidak termasuk kemalangan ekoran kecuaian.

Terbaharu, tular video pemandu mabuk mengheret motosikal sejauh dua kilometer yang mengakibatkan seorang penghantar makanan meninggal dunia di tempat kejadian.


Pengarang :