Pengunjung membeli barangan basah secara pandu lalu di Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Fomca: Harga ayam perlu dikawal, jadi pengguna bijak

SHAH ALAM, 21 JUN: Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mahu kerajaan melaksanakan skim harga maksimum ayam standard dan menangani isu ini dengan serius demi pengguna, kata presidennya.

Mohd Yusof Abdul Rahman berkata pihak berkuasa perlu mengawal perkara tersebut yang kebiasaannya bermula di peringkat ladang sehingga menyebabkan penjual terpaksa menaikkan harga jualan.

“Isu pengguna ditekan atau ditindas oleh harga bekalan makanan yang tidak munasabah bukan perkara baru berlaku sehari dua, jadi kerajaan perlu lihat rangkaian yang menyebabkan isu ini berlaku.

“Kebiasaannya apabila permintaan tinggi, pembekal, pemborong dan peniaga mula akan ambil kesempatan dengan menaikkan harga,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohd Yusof berkata pengguna wajar bersikap bijak menentukan permintaan supaya tidak menjadi tinggi sehingga menyebabkan pihak industri bertindak menaikkan harga.

“Apabila berlaku kenaikan harga ayam, kita perlu beralih kepada bekalan makanan lain tetapi ada pengguna tidak bersedia beralih kepada daging atau ikan,” katanya.

Semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan kerajaan akan melaksanakan skim harga maksimum bagi ayam standard sekiranya masih berlaku kenaikan harga secara mendadak.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan menetapkan harga siling ayam standard sama seperti yang dilaksanakan ketika musim perayaan.

Cadangan tersebut timbul susulan terdapat peniaga menjual ayam pada harga antara RM10 dan RM11 sekilogram berbanding RM7.50 ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.


Pengarang :