Notis penutupan ditampal pada dinding selepas Kompleks Pasar Meru, Klang diarahkan tutup semasa operasi bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Meru pada 5 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Gagal ikut SOP, Kompleks Pasar Meru diarah tutup

SHAH ALAM, 5 JUN: Kompleks Pasar Meru, Klang diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor selepas gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pegawai Kesihatan Persekitaran CT Zawiah Ab Ghani berkata premis berkenaan didapati tidak memeriksa suhu badan dan pendaftaran peniaga, tiada penjarakan sosial dan kemasukan pelanggan tidak dihadkan.

“Kerja nyahkuman yang sepatutnya dilakukan setiap hari selepas pasar beroperasi hanya dilakukan dua kali seminggu manakala penyediaan cecair pembasmi kuman hanya di pintu masuk sahaja.

“Suhu badan dan nama pekerja juga tidak direkodkan sedangkan itu wajib. Kita risau jika ada pekerja yang demam datang bekerja, malah pemantauan hanya dibuat ke atas pengunjung sahaja,” katanya.

Tindakan susulan Operasi Bersepadu Agensi Penguatkuasa Pematuhan SOP Pembukaan Semula Ekonomi oleh JKN Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Majlis Perbandaran Klang.

CT Zawiah berkata pihak pengurusan pasar perlu memandang serius perkara terbabit dan mematuhi SOP sebelum kembali beroperasi.

Sebanyak 19 premis perniagaan di kawasan berhampiran turut diarah tutup atas kesalahan sama.


Pengarang :