Gimnasium dibuka semula kepada orang ramai selepas dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gimnasium, kompleks sukan boleh dibuka mulai 15 Jun

SHAH ALAM, 8 JUN: Kerajaan membenarkan pembukaan beberapa sektor perniagaan berkaitan sukan mulai Isnin depan, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perniagaan meliputi gimnasium, dewan sukan tertutup, pusat snuker dan kompleks sukan pelbagai guna.

“Orang ramai boleh lakukan aktiviti sukan dan rekreasi tanpa sentuhan contohnya olahraga, badminton, angkat berat, sukan permotoran, sukan ekstrem, papan luncur, senamrobik dan yoga.

“Latihan sukan tempur seperti silat dan karate secara berseorangan atau tanpa sentuhan dibenarkan tetapi latihan secara berpasangan dilarang. Turut dilarang kompleks sukan renang kerana berisiko tinggi,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata pengusaha perlu mengisi borang pemakluman bermula hari ini di laman sesawang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Semalam, perdana menteri mengumumkan beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) termasuk latihan persediaan dan aktiviti tidak melibatkan sentuhan badan.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuat kuasa bermula 4 Mei lalu membenarkan aktiviti joging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.

PKPB yang berakhir esok digantikan dengan PKP Pemulihan bermula 10 Jun hingga 31 Ogos dengan lebih banyak kelonggaran diberikan.


Pengarang :