Pengguna Bas Smart Selangor memakai pelitup muka ketika tinjauan SelangorKini di perhentian bas Bandar Baru Ampang pada 3 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Google Maps bantu rancang perjalanan penumpang Bas Smart Selangor

SHAH ALAM, 22 JUN: Penumpang Bas Smart Selangor di beberapa laluan terpilih kini boleh menyemak waktu perjalanan melalui Google Maps.

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam kenyataan berkata aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Google Play atau App Store hanya memerlukan penumpang mengisi maklumat perjalanan.

“Aplikasi ini dijangka memanfaatkan ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di Lembah Klang dan Selangor, selain membantu warga kota merancang perjalanan lebih baik dan efisien,” kata syarikat pengendali bas terbesar itu.

Selain Bas Smart Selangor, perkhidmatan Google Maps turut disediakan bagi 170 laluan bas di Lembah Klang dan Selangor termasuk bas perantara Transit Aliran Ringan (LRT) dan Go KL.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melancarkan aplikasi Selangor Intelligent Transport System yang membolehkan penumpang Bas Smart Selangor mengenal pasti perhentian terdekat dan menyemak jangkaan waktu ketibaan bas.


Pengarang :