AGENSISELANGOR

Hanya guna telefon, MPKK Kampung Sungai Kertas tak jangka juara

SHAH ALAM, 6 JUN: Video pendek hasil ciptaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Kertas yang memaparkan kisah seorang lelaki pengutip barang terpakai menerima tontonan 15,000 sehari, kata pengerusinya.

Jamil Azaman berkata beliau tidak menjangka video yang dirakam hanya menggunakan telefon bimbit itu sekali gus merangkul juara Pertandingan Video Pendek Kampungku Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di musim Covid-19.

Katanya beliau berharap supaya video berkenaan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya penduduk kampung supaya sentiasa bantu-membantu dan sentiasa berganding bahu tidak mengira taraf.

“Pertandingan anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi memberi peluang kepada MPKK seluruh Selangor lebih kreatif dan berdaya saing.

“Terima kasih kepada yang terlibat dan tidak ketinggalan, terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan yang sentiasa memberi semangat dan dorongan,” katanya kepada SelangorKini.

Kemenangan berkenaan turut meraih perhatian Amirudin selaku ADN Sungai Tua, katanya kejayaan MPKK berkenaan adalah membanggakan.

“Tahniah diucapkan kepada MPKK Kampung Sungai Kertas atas kejayaan yang membanggakan ini. Tahniah juga kepada semua MPKK yang turut menyertai pertandingan Kampungku Raya ini. Syabas,” tulisnya menerusi Facebook.

#KampungkuRaya MPKK Kampung Sungai Kertas

#KampungkuRaya MPKK Kampung Sungai Kertas

Posted by KitakanSekampung on Friday, 29 May 2020

Semalam EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata video Kampung Sungai Kertas menambat perhatian juri selepas video dipaparkan di laman Facebook Kitakan Sekampung mendapat jumlah tontonan lebih 26,000 termasuk 340 tanda suka dan 274 perkongsian.

Ia antara inisiatif baharu diperkenalkan bagi mencungkil kreativiti ahli MPKK sekali gus berpotensi mengetengahkan keunikan sesebuah kampung tradisi di negeri ini.


Pengarang :