Selangorkini
Guru SMK Engku Husain Rohana Asha’ari (kiri) bersama Siti Fatimah Mahmud (kanan) dan Manisa Rahmat (tengah) menyusun meja mengikut garis panduan bagi persediaan pembukaan semula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

Hanya pelajar tingkatan 5 dan 6 diutamakan jika sekolah dibuka

SHAH ALAM, 3 JUN: Hanya pelajar tingkatan lima dan enam diberi keutamaan untuk kembali ke sekolah sekiranya kembali dibuka, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata keutamaan diberi kepada pelajar yang mengambil peperiksaan dan pengumuman dibuat dua minggu sebelum sekolah dibenarkan buka.

“Untuk melaksanakannya, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menambah baik garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) tetapi kita belum pasti bila sekolah akan kembali dibuka, namun semuanya sudah disiap sediakan.

“Apabila kita (KKM) melihat garis panduan berkenaan, saya yakin dengan kemampuan SOP itu, kita dapat melakukannya,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata jangkitan Covid-19 berjaya diturunkan sebanyak 60 peratus sekiranya kaedah penjarakan sosial terus diamalkan.

“Setakat ini kita tidak mempunyai vaksin, tetapi vaksin pada ketika ini ialah penjarakan sosial, jika terus amalkan jarak satu meter kita dapat kurangkan jangkitan, lebih dari itu lagi baik.

“Sekiranya konsep penjarakan sosial diamalkan dalam sekolah dan juga rakyat, maka kadar kebolehjangkitan boleh dikurangkan,” katanya.


Pengarang :