Pengunjung pasar raya Giant di Seksyen 7, Shah Alam menjalani pemeriksaan suhu badan dan mematuhi jarak sosial sebelum dibenarkan masuk ke premis itu pada 5 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hanya periksa suhu badan di pintu masuk pasar raya, hotel

SHAH ALAM, 29 JUN: Pengunjung pasar raya dan hotel hanya perlu melakukan pemeriksaan suhu badan di pintu masuk sahaja, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun data peribadi iaitu nama dan nombor telefon tetap perlu didaftarkan di setiap premis kedai dikunjungi.

“Mesyuarat khas menteri hari ini bersetuju saringan suhu hanya dibuat di pintu masuk, tak perlu periksa setiap kedai. Rekod peribadi perlu dibuat secara manual atau aplikasi MySejahtera bagi membolehkan pengesanan kontak sekiranya terdapat kes jangkitan Covid-19.

“Peraturan ini juga termasuk di hotel. Ada pengunjung yang mahu ke restoran atau kedai cenderahati, jadi tidak perlu lagi..hanya periksa di pintu masuk,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan pemeriksaan suhu badan di setiap premis termasuk di pasar raya dan hotel sebagai usaha mengekang penularan wabak itu.


Pengarang :