Dato’ Seri Amirudin Shari dan Lim Yi Wei (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Isteri Datuk Ooi Eow Jin di Taman Sea, Petaling Jaya pada 27 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Hargai anak seni, Selangor sumbang RM10,000 kepada komposer veteran

PETALING JAYA, 27 JUN: Selangor hari ini menyumbang RM10,000 kepada komposer veteran Datuk Ooi Eow Jin yang kini terlantar akibat Alzheimer.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan tersebut bagi perubatan dan menghargai sumbangan figura berusia 82 tahun itu dalam industri seni.

“Kita hargai sumbangan Eow Jin dalam industri muzik yang banyak menggubah lagu popular pada 1970-an dan 1980-an. Ini antara usaha Selangor sebagai negeri prihatin dan semoga semangat ini berterusan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Amirudin bersama Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei meluangkan masa melawat Eow Jin dan anaknya, Raymond, 56, yang menderita tumor otak di kediamannya dekat sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Lim Yi Wei menziarahi Datuk Ooi Eow Jin di Taman Sea, Petaling Jaya pada 27 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin turut mengimbau kenangannya membesar dengan lagu gubahan maestro kelahiran George Town, Pulau Pinang itu melalui rancangan televisyen.

Beliau juga memuji kesungguhan isteri Eow Jin, Datin Khaw Lean Kee, 80, yang membuat kerja sambilan untuk menampung rawatan suami dan anaknya.

Eow Jin memulakan kerjaya dalam arena muzik dengan menganggotai Orkestra RTM selama dua dekad bermula 1963 hingga 1983, sebelum berhijrah ke TV3, setahun kemudian.

Beliau kemudian bekerja sebagai pegawai kebudayaan sebuah universiti pada 1989 dan tenaga pengajar di Universiti Putra Malaysia serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Kali terakhir Eow Jin bekerja sebagai pemain piano solo di sebuah hotel di ibu negara pada 2015.

Beliau banyak mencipta lagu untuk penyanyi tempatan dan luar negara termasuk Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Datuk Rafeah Buang, Datuk M Nasir, Rahimah Rahim, Flora Santos, Alleycats, Jennifer Yen dan Francis Yip.

 


Pengarang :