BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Hargai jasa bapa, titipkan doa jika sudah tiada

SHAH ALAM, 21 JUN: Setiap anak diingatkan supaya tidak sesekali memperkecilkan peranan dan jasa yang dicurahkan bapa mereka selama ini, kata EXCO pemberdayaan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata anak-anak wajar memberi penghargaan kepada bapa mereka dan sentiasa mendoakan kesejahteraan jika sudah tiada.

“Tanggungjawab yang besar dan pengorbanan ayah jangan pernah kita kecilkan. Dan ingatlah sentiasa, kedudukan ibu bapa sangat tinggi di sisi agama.

“Saya menyeru kepada semua anak-anak untuk menghargai bapa anda. Berikanlah penghormatan, penghargaan atas jasa mereka. Jika sudah tiada, titipkanlah doa untuk kesejahteraan mereka,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Bapa hari ini.

Beliau juga berharap sambutan khas bagi meraikan insan bergelar bapa tahun ini memberi peluang untuk mengeratkan kasih sayang sesama keluarga.

“Dalam kesibukan mencari rezeki dan rencam ekonomi yang semakin menghimpit, seorang ayah diharapkan dapat memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak. Masa yang sedikit mungkin bermakna buat mereka.

“Kebahagiaan di dalam keluarga merupakan asas yang paling penting dalam membina keharmonian rumah tangga. Keluarga yang baik dapat melahirkan anak yang mempunyai jiwa yang besar, jati diri yang tinggi demi membangun masyarakat yang bertamadun,” katanya.


Pengarang :