AGENDASUKANKINI

Hoki remaja wanita mahu cipta sejarah ke Piala Dunia 2021

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Anak didik Lailin Abu Hassan tekad mahu bukti keupayaan mereka kepada peminat dengan menjadi pasukan hoki pertama layak ke Piala Dunia Remaja Wanita 2021 yang dijadualkan di Afrika Selatan.

Lailin dilantik selaku ketua jurulatih hoki wanita remaja sejak awal tahun ini percaya skuad bimbingannya mampu memberi saingan sengit sekali gus berada dalam kelompok tiga terbaik pada kejohanan kelayakan di Piala Remaja Wanita Asia 2020.

“Malaysia sekarang berada dalam ranking lima terbaik Asia jadi tidak mustahil untuk kita cipta sejarah di Piala Remaja Wanita Asia nanti. Pemain juga ada tunjuk semangat juang yang tinggi, mereka yakin dengan diri mereka untuk lakukan yang terbaik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Piala Remaja Wanita Asia 2020 yang dijadualkan dari 6 hingga 12 April di Kakamigahara, Jepun ditunda ke satu tarikh yang masih belum diputuskan berikutan penularan Covid-19 di negara itu.

Kemungkinan tarikh baharu selepas Sukan Olimpik 2020 dan sebelum 31 Disember, 2020 kerana Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menetapkan semua pengesahan kelayakan ke Piala Remaja Dunia 2021 pada akhir tahun 2020.

“Jika kejohanan diteruskan pada April lepas, memang masa agak suntuk untuk persiapan. Bila berlaku penundaan ini, sekurang-kurangnya saya dapat menilai prestasi setiap pemain dengan lebih baik dan merangka perancangan perlawanan yang teratur,” katanya.

Lailin berkata pemilihan bagi skuad remaja wanita negara dilakukan pada Mac lepas namun latihan terpaksa dihentikan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac.

Tambahnya empat pemain yang pernah beraksi bersama pasukan senior turut terpilih untuk membantu pasukannya kali ini. Mereka ialah Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad, Nur Amirah Syakirah Zulkifli, Kiran Deep Kaur dan Siti Zulaikha Husain.

Pasukan remaja wanita yang ditempatkan di Majlis Sukan Negara (MSN) mula mendaftar pada 5 Julai ini dan latihan bermula semula pada 6 Julai.

“Saya harap empat pemain itu boleh menjadi contoh dan bimbing pemain lain. Semua pemain kena kembali kepada latihan asas dari segi kecergasan kerana sudah lama tidak ada latihan yang betul,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :