AGENDAEKONOMINASIONAL

Industri tuna dikembangkan, sumber kekayaan baharu

SERDANG, 24 JUN: Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2020-2030 sedang disediakan bagi mengembangkan industri perikanan tuna sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi.

Beliau berkata pelan itu mengandungi 10 strategi dan inisiatif pembangunan dan pengurusan industri tuna negara.

“Sehingga 2019, sebanyak 17 buah vesel (kapal) penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel carrier dilesenkan dan beroperasi di Lautan Hindi dengan hasil tangkapan sebanyak 2,760.60 tan metrik dengan nilai anggaran RM35 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program promosi produk tuna kepada petugas barisan hadapan Covid-19 di MAEPS, di sini, hari ini, yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Menurut Munir, industri tuna di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu tuna oseanik yang boleh didapati di lautan antarabangsa atau Sabah dan Labuan; dan tuna neritik adalah spesis bersaiz kecil yang ditangkap dalam negara di kawasan zon ekonomi ekslusif (ZEE).

Pelabuhan Pulau Pinang dan Langkawi disenaraikan Jabatan Perikanan sebagai pelabuhan pendaratan tuna oleh kapal beroperasi di Lautan Hindi, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :