AGENDAEKONOMI

Insentif pengeluaran getah bagi Mei 2020 diaktifkan

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi Mei 2020 diaktifkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pekebun kecil membuat tuntutan pembayaran berdasarkan pengeluaran pada Mei.

Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam kenyataan hari ini, pengaktifan itu berikutan harga purata getah peringkat ladang pada Mei 2020 bagi getah sekerap berada pada RM1.65 sekilogram di Semenanjung, RM1.35 sekilogram di Sabah dan RM1.50 sekilogram di Sarawak.

“LGM juga memaklumkan IPG teraktif bagi Mei 2020 dengan bayaran di Semenanjung pada RM0.85 sekilogram, RM1.15 sekilogram di Sabah serta RM1.00 sekilogram di Sarawak,” katanya.

Sejak Januari 2019, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan getah SMR 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada pada paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang mencecah RM2.50 sekilogram ke bawah.

“Pekebun kecil boleh membuat tuntutan IPG berdasarkan pengeluaran Mei 2020 mulai 1 Jun hingga 30 Jun, 2020,” menurut LGM.

-BERNAMA


Pengarang :