AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Insentif penjagaan anak demi kebajikan ibu bapa petugas hadapan

SHAH ALAM, 2 JUN: Insentif Penjagaan Anak-anak Petugas Hadapan Covid-19 diperkenalkan Kerajaan Negeri merupakan antara inisiatif untuk menjaga kebajikan ibu bapa di Selangor, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata petugas barisan hadapan terpaksa meninggalkan anak mereka di bawah jagaan pengasuh demi menjalankan tanggungjawab membendung penularan Covid-19 yang memuncak sejak tiga bulan lalu.

“Ketika ancaman wabak memuncak pada Mac dan April lepas, ramai petugas terbabit mengorbankan masa dan tenaga memberi perkhidmatan terbaik kepada kita selain mereka perlu mengambil pilihan meninggalkan anak atau menghantar kepada pengasuh,” katanya menerusi Twitter sempena sambutan Hari Ibu Bapa Sedunia 2020 hari ini.

Kerajaan Negeri sebelum ini menetapkan kadar bantuan bernilai RM150 diberikan untuk seorang anak bagi tempoh dua bulan iaitu Mac dan April menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor 2.0.

Selain itu, ibu bapa turut dibantu menyiapkan kelengkapan anak-anak menerusi Program Back To School (Kembali Ke Sekolah).

“Terima kasih sekali lagi buat ibu bapa seluruh Malaysia, khususnya ibu bapa di Selangor,” katanya.


Pengarang :