Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra pada 8 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ismail Sabri: Kerajaan bakal tetap SOP sambutan Aidiladha

SHAH ALAM, 8 JUN: Kerajaan akan mengeluarkan tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Aidiladha yang dijangka disambut pada 31 Julai depan, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya memahami ramai tidak sabar menantikan perayaan tersebut selepas tidak dibenarkan pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

“Memandangkan sambutan Aidiladha lebih sebulan setengah lagi, jadi SOP akan ditetapkan nanti dan kita akan umumkan apabila sampai masanya,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Berhubung ziarah kubur sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu ini, Ismail Sabri berkata perkara tersebut dibenarkan tetapi orang ramai perlu mematuhi SOP.

“Sebelum ini kita menetapkan tidak boleh melebihi 20 orang dalam satu-satu masa jika kawasan kubur sempit tetapi sepanjang PKPP aktiviti ziarah dinasihat dilakukan secara bergilir-gilir.

“Seelok-eloknya ikut SOP kerana kita tidak mahu ziarah kubur menjadi perhimpunan orang ramai,” katanya.

PKP Bersyarat yang dikuat kuasa bermula 4 Mei lalu berakhir esok dan digantikan dengan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos dengan lebih banyak kelonggaran diberikan.


Pengarang :