Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai program pelaburan tidak wujud, selain hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (gambar hiasan)
AGENDANASIONAL

Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diberi perhatian

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diakui dan ditangani dengan betul kerana mereka juga mampu mengalami masalah yang sama seperti orang dewasa

Penaung Befrienders Kuala Lumpur Tan Sri Lee Lam Thye berkata meskipun terdapat perbincangan intensif mengenai kesihatan mental sejak beberapa tahun lepas, kebanyakannya memfokus kepada kesejahteraan mental orang dewasa.

“Ini sesuatu yang baik memandangkan betapa tabunya subjek penyakit mental…. tetapi inilah masanya untuk kita mengakui kepentingan kesihatan mental bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa.

“Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, sejumlah 424,000 kanak-kanak didapati bergelut dengan isu kesihatan mental… Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kita semua dan isu ini perlu ditangani dengan betul kerana kanak-kanak adalah masa depan dan harapan kita,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kemampuan untuk menyedari bahawa seorang kanak-kanak memerlukan bantuan adalah penting kerana intervensi awal boleh meningkatkan kesejahteraan mereka, dan dengan penjagaan serta rawatan yang betul, kebanyakan isu kesihatan mental boleh dirawat.

Lee berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak-anak mereka, termasuk menyediakan persekitaran di rumah yang penuh dengan kasih-sayang dan penjagaan selain menggalakkan perbualan sihat dengan mendengar secara aktif serta membenarkan mereka bercakap tanpa bersikap menghakimi dan kritikal.

“Mereka akan bersikap lebih terbuka untuk bercakap mengenai masalah mereka, termasuk perasaan yang sukar dan tidak selesa, serta meminta bantuan sekiranya mereka berdepan kesulitan pada masa akan datang.

“Jika anda bimbang dengan kesihatan mental anak anda, mintalah bantuan… bercakap dengan orang yang profesional seperti psikiatri atau kaunselor,” katanya sambil menambah Befrienders KL menawarkan sokongan emosi kepada sesiapa yang berasa tertekan atau ingin bunuh diri, dengan menghubungi talian bantuan 24 jam mereka di 03-7627 2929.

Lee berkata persekitaran sihat di sekolah juga amat penting kerana kanak-kanak menghabiskan banyak masa di sekolah setiap hari dan mereka perlu dilengkapi kemahiran bagaimana menangani tekanan secara berkesan, menyelesaikan masalah dan membina ketahanan diri.

Beliau berkata dengan menggabungkan kesemua elemen ini dalam silibus sekolah membantu meningkatkan kesihatan mental kanak-kanak manakala tenaga pengajar boleh membantu menjadikan sekolah tempat lebih selamat dengan mengawasi insiden buli kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak dan boleh membawa kepada insiden bunuh diri.

– BERNAMA


Pengarang :