Ilustrasi pasangan bernikah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Jais benarkan akad nikah fizikal mulai 22 Jun

SHAH ALAM, 18 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan semula pelaksanaan majlis akad nikah dengan kehadiran fizikal berkuat kuasa 22 Jun ini.

Bagaimanapun, upacara hanya boleh dilaksanakan di masjid yang ditentukan atau di Pejabat Agama Islam Daerah dengan kebenaran pendaftar kanan.

“Sehubungan itu, pelaksanaan akad nikah menerusi sidang video dihentikan,” kata Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kehadiran fizikal tidak boleh melebihi 15 orang, iaitu tujuh dari pihak lelaki dan lapan dari pihak perempuan selain pengantin lelaki, perempuan, wali serta dua saksi.

“Semua individu yang hadir dalam majlis akad nikah di bawah ketetapan ini hendaklah mengikuti garis panduan ditetapkan Jais,” katanya lagi.

Mohd Shahzihan turut mengingatkan penolong pendaftar perkahwinan membantu dan memudah cara semua urusan anak kariah membabitkan permohonan kebenaran berkahwin serta akad nikah.

Jais sebelum ini menetapkan majlis akad nikah di negeri ini dilaksanakan melalui sidang video susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi mengekang penularan Covid-19.


Pengarang :