AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais laksana kursus praperkahwinan dalam talian

SHAH ALAM, 7 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melaksanakan Kursus Pra-Perkahwinan Islam (KPPI) dalam talian bermula 13 Jun ini.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata setiap sesi hanya membabitkan 150 peserta dan permohonan dibuka mulai Selasa ini.

“Langkah ini selaras pembudayaan norma baharu menghadapi pandemik Covid-19 dan akan dilaksanakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga enam bulan selepas PKPB tamat.

“Jais akan utamakan permohonan yang dibuat sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan melalui data kira-kira 5,000 individu sudah membuat permohonan ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemohonan boleh dibuat menerusi pautan disediakan mengikut daerah dan peserta akan menerima jemputan melalui emel.

“Kursus setiap Sabtu dan Ahad. Terdapat dua sesi iaitu 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 6 petang.

“Sijil hanya diberikan kepada peserta yang berjaya menyelesaikan tugasan dan boleh boleh diambil berserta nota KPPI di kaunter pembayaran,” katanya.

Katanya, peserta boleh merujuk tatacara lengkap berkaitan pelaksanaan KPPI dalam talian di laman web www.jais.gov.my , Facebook Jabatan Agama Islam Selangor, dan Instagram jabatan.agama.islam.selangor.

Beliau berharap bakal peserta KPPI dalam talian meneliti proses ditetapkan, serta menghubungi Bahagian Undang-Undang Keluarga ditalian 017-949 2634 mulai 9 Jun ini, untuk mendapatkan keterangan lanjut.


Pengarang :