Seorang petugas di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang mengambil bacaan suhu jemaah yang mendapat kebenaran khas untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu sebelum dibenarkan masuk pada 19 Jun 2020. Foto Ihsan Masjid Jamek Ar Rahimiah
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Jais, penyelaras masjid bincang isu pilih jemaah Isnin

SHAH ALAM, 20 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan berbincang dengan penyelaras masjid pada Isnin mengenai kaedah sistematik pemilihan jemaah.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata perkara tersebut antara lain mahu pengurusan masjid lebih efisien dan tersusun termasuk mempraktikkan permohonan solat berjemaah melalui borang google.

“Ada masjid yang telah gunakan kaedah ini dan ada juga yang belum. Jais tidak dapat terima alasan pengurusan masjid tidak tahu mengisi borangnya.

Jemaah yang mendapat kebenaran khas di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang khusyuk mendengar khutbah ketika menunaikan solat Jumaat di masjid itu pada 19 Jun 2020. Foto Ihsan Masjid Jamek Ar Rahimiah

“Ini kerana sekarang semua ada telefon bimbit dan mereka yang umur 60 tahun pun tahu guna Facebook dan macam-macam aplikasi lain lagi,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata kaedah borang google membolehkan Jais menyimpan senarai nama sekali gus memudahkan pihak berkuasa agama memantau penggiliran solat berjemaah.

“Jais juga mengingatkan pengurusan masjid perlu lebih terbuka dan matang dalam melayan tuntutan jemaah setempat, contohnya jika ada jemaah yang minta mereka isi nama, kita kena layan sebab itu tugas kita,” katanya.

Khamis lalu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membenarkan bilangan jemaah di Masjid Negeri ditambah daripada 40 kepada 250 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK).

Sultan Selangor menitahkan jumlah jemaah di 39 masjid yang dibenarkan sebelum ini turut ditambah daripada 40 kepada 150 orang manakala masjid yang berada dalam mukim zon hijau, bilangan jemaah dihadkan 40 orang.


Pengarang :