Rodziah Ismail (depan tengah) bersama Setiausaha dan ahli biro MPKK daerah Hulu Langat yang menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri dalam suatu majlis berlangsung di Pejabat Daerah Hulu Langat, Bangi pada 9 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Jangan abai denggi, ‘pembunuh’ senyap selain Covid-19

BANGI, 9 JUN: Penduduk kampung diingatkan supaya tidak mengabaikan isu denggi kerana ia juga di antara ‘pembunuh’ senyap selain Covid-19, kata EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

Rodziah Ismail berkata oleh itu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu memastikan penduduk menjaga kebersihan supaya denggi tidak membiak di kawasan perumahan mereka.

“Kes denggi sedang menular di Selangor dan saya menggesa supaya jawatankuasa memantau kampung masing-masing, jadi jagalah kebersihan persekitaran. Jangan takut Covid-19 sahaja kerana denggi juga mampu mengancam nyawa tanpa kita sedar,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada MPKK di Pejabat Daerah Hulu Langat di sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Hulu Langat, Yusri Zakariah dan Ketua Pegawai Bisnes Amal Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Mohd Jaafarudin Md Ali Al-Hafiz.

Hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan akan berlaku peningkatan kes demam denggi gelombang kedua bermula awal Jun hingga September susulan tren peningkatan secara berterusan yang direkodkan sejak enam minggu lalu.

Katanya, berdasarkan rekod enam minggu lalu, didapati purata peningkatan sebanyak lapan peratus setiap minggu dicatatkan.

Bermula Januari sehingga 6 Jun lalu, terdapat 48,584 kes demam denggi dan 84 kematian dilaporkan.


Pengarang :