Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) ketika sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 5 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jarak sosial putus rantaian Covid-19, kurang sebar penyakit berjangkit

SHAH ALAM, 5 JUN: Amalan penjarakan sosial bukan sahaja terbukti menurunkan kes Covid-19, malah mengurangkan sebaran penyakit berjangkit lain terutama melalui sentuhan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata analisis wabak daripada minggu epid pertama hingga ke-22 tahun ini mendapati penyakit tangan, kaki dan mulut turun 44.6 peratus, demam campak (58.3 peratus) dan cacar air (44.5 peratus).

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat, kerajaan menekankan penjarakan sosial satu meter, mengelakkan berada dalam ruang sempit dan sesak serta amalan kebersihan tinggi.

“Kaedah ini bertujuan mengurangkan penularan Covid-19 seterusnya memutuskan rantaian wabak dalam masyarakat dengan meminimumkan kontak antara individu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham khuatir terdapat penurunan dalam kadar imunisasi bayi dan kanak-kanak susulan kembimbangan ibu bapa membawa anak ke klinik.

“Perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak masih diteruskan seperti biasa di klinik kesihatan, justeru ibu bapa dinasihatkan mematuhi jadual imunisasi dan tarikh temu janji,” katanya.


Pengarang :