AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jemaah terima jemputan sahaja boleh solat di masjid – Jais

SHAH ALAM, 12 JUN: Hanya jemaah yang menerima jemputan dari pihak masjid sahaja boleh hadir menunaikan solat Jumaat, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata cara memohon boleh dilakukan menerusi Google Form atau mengisi borang permohonan di masjid yang dibenarkan melakukan solat jemaah.

“Jemputan akan diberikan dalam bentuk paparan telefon atau kad fizikal mengikut tarikh yang ditetapkan. Sejurus mendapat jemputan mereka perlu menunjukkan bukti kepada petugas di pintu masuk masjid.

“Kepada jemaah yang telah membuat permohonan tetapi tidak mendapat jemputan bagi kehadiran solat Jumaat mereka perlu menunggu keputusan bagi menghadiri pada minggu berikutnya,” katanya dalam kenyataan.

Manakala, Mohd Shahzihan berkata jemaah yang tidak menerima jemputan dilarang hadir namun mereka diminta menunaikan solat fardu Zuhur di kediaman atau tempat masing-masing.

Bagaimanapun, jemaah yang dibenarkan hadir untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu Maghrib, Isyak dan Subuh perlu memastikan:

1. Jemaah adalah warganegara Malaysia (bukan warganegara tidak dibenarkan untuk hadir solat Jumaat)
2. Mengambil wuduk di rumah
3. Membawa sejadah sendiri
4. Memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan masjid
5. Sihat dan tidak berkerusi roda
6. Menggunakan cecair pembasmi kuman yang disediakan sejurus suhu badan diambil semasa mendaftar kehadiran
7. Menjaga penjarakan sosial sepanjang bergerak masuk, di dalam dan ketika bergerak meninggalkan ruang solat

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah bilangan jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah di 39 masjid di Selangor ditambah kepada 40 orang berkuat kuasa hari ini.


Pengarang :