AGENSISELANGOR

Jom sertai Usahawan Seldec, tingkat ekonomi

SHAH ALAM, 6 JUN: Selangor Industrial Corporation (SIC) menyasarkan 1,000 peserta menyertai Usahawan Selangor Digital E-Supply Chain (Seldec), kata ketua pemasarannya.

Nora Abdullah berkata objektif utama pihaknya mewujudkan Usahawan Seldec untuk membantu meningkatkan ekonomi peniaga terutama di luar bandar yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Permohonan ini terbuka kepada semua peniaga sama ada penternak, petani, peladang dan industri kecil dan sederhana. Sehingga kini lebih 250 permohonan diterima dan sambutan memberangsangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Nora berkata banyak manfaat bakal peserta perolehi antaranya mereka berpeluang mendapat sijil penyertaan (e-sijil), perkongsian ilmu perniagaan dan peluang berniaga di portal Seldec.

“E-sijil dengan sokongan Kerajaan Negeri diberikan bagi yang berdaftar dan menghadiri seminar. Malah, sijil ini juga boleh diguna untuk pemohonan dana disediakan Kerajaan Selangor,” kata beliau.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Nora Abdullah di talian 019-207 7729 atau layari Facebook dan Instagram Seldec. Difahamkan, sehingga kini belum ada tarikh tutup dan masih dibuka.


Pengarang :