EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim (tengah) mencabut undi kerja tender dalam talian yang dilaksanakan kali pertama oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Daerah Petaling pada 18 Jun 2020.
AGENSISELANGOR

JPS Selangor laksana cabut undi agihan tender dalam talian

SHAH ALAM, 18 JUN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor buat kali pertama melaksanakan cabutan undi secara dalam talian bagi kerja agihan tender di negeri ini, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata pelaksanaan itu dilihat lebih telus untuk kontraktor mendapatkan 228 tender membabitkan peruntukan RM9.5 juta.

“Cabutan undi dalam talian ini dilakukan menerusi siaran langsung Facebook JPS sekali gus membuktikan ketelusan Selangor memberi kerja undi.

“Selain itu kontraktor-kontraktor juga dapat bersaing lebih sihat. Melihat kelancaran proses ini, kita akan sambung pelaksanaannya pada fasa kedua nanti,” katanya selepas Majlis Cabut Undi Online JPS di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Daerah Petaling, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JPS Selangor, Datuk Ir Gapar Asan dan Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar.

Menurut Ir Izham, kontraktor yang berjaya dalam cabutan undi fasa pertama tidak layak untuk menyertai cabutan undi kerja tender fasa kedua kerana Kerajaan Negeri mahu semua kontraktor diberi peluang selain membolehkan ekonomi dirangsang.

Seramai 1,467 kontraktor mendaftar dalam fasa pertama yang berlangsung hari ini dan keputusan undian itu akan dipaparkan esok.

Pada 3 Jun, Ir Izham memaklumkan Selangor memperuntukkan RM13.862 juta untuk pelaksanaan agihan tender projek penyelenggaraan jalan dan pengairan di Selangor.

Sejumlah RM5.489 juta disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk agihan tender 137 projek kontraktor kecil manakala baki kepada JPS meliputi 208 projek.


Pengarang :