Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah korban naik angkara pemandu mabuk, polis gesa hukuman berat

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebanyak sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk direkodkan dalam tempoh lima bulan tahun ini, berbanding jumlah sama pada Januari hingga Disember tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata trend itu membimbangkan susulan angka korban meningkat ketara, lapor Harian Metro.

“Semua rakyat pasti masih ingat insiden Koperal Safwan Muhammad Ismail terkorban di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan terbaharu penunggang motosikal maut selepas dilanggar pemandu mabuk.

“Diviralkan pula video pemandu mabuk itu mengheret motosikal sejauh dua kilometer. Kita sudah buat ujian (kandungan alkohol) dan bacaannya melebihi apa yang dibenarkan,” katanya pada program temu bual di sebuah stesen televisyen malam tadi.

Azisman berkata pihaknya mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk meminda dan menggubal Akta Pengangkutan Jalan terutama bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata seksyen sedia ada menetapkan kadar bacaan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 80mg/100ml masih tinggi berbanding piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia iaitu 50mg/100ml.

“Undang-undang sedia ada dilihat tidak setimpal atas kesalahan dilakukan pemandu mabuk sehingga mengorbankan nyawa pengguna jalan raya lain dan tidak memberi pengajaran kepada mereka,” katanya.


Pengarang :