AGENDAEKONOMINASIONAL

Kadar pengangguran boleh cecah enam peratus tahun ini – Ambank Research

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Kadar pengangguran Malaysia boleh mencecah enam peratus atau lebih tinggi pada tahun ini, sekali gus mengatasi krisis kewangan Asia pada 1997 dan kemelesetan pada 2008 yang masing-masing mencatat 3.2 peratus dan 3.7 peratus, demikian menurut Ambank Group Research.

Menurut cabang penyelidikan Ambank Group itu, data pasaran buruh terbaharu menunjukkan keadaan pasaran kerja juga jauh lebih terjejas selepas kadar pengangguran pada April meningkat kepada lima peratus yang tertinggi sejak 1990, daripada 3.9 peratus pada Mac lepas.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Ketua Ahli Ekonomi dan Penyelidikannya Dr Anthony Dass berkata langkah penutupan sebahagian besar operasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga mengurangkan pekerjaan dan menyukarkan mereka yang berusaha mencari kerja.

Berikutan itu, jumlah penganggur meningkat 48.8 peratus tahun ke tahun kepada 778,800 orang pada April manakala bilangan mereka yang tidak bekerja dalam empat bulan pertama tahun ini berjumlah 2.4 juta orang.

Memetik dapatan survei Jabatan Perangkaan, beliau berkata terdapat seramai 2.59 juta orang yang mengendalikan perniagaan sendiri pada April.

Menurutnya, mereka kebanyakannya adalah peniaga termasuk peniaga kecil (pasar tani/pasar malam/katering/gerai/ operator pelancongan dan lain-lain).

“Kumpulan ini terdedah kepada risiko pekerjaan serta kehilangan pendapatan berikutan PKP. Dapatan survei itu turut menunjukkan PKP itu menjejaskan seramai 4.87 juta pekerja yang tidak bekerja pada April 2020.

“Kelompok ini tidak dikategorikan sebagai tidak bekerja kerana mempunyai pekerjaan,” katanya.

Dass berkata tekanan terhadap jumlah pekerjaan terus kekal dan banyak bergantung ke atas kemampuan perniagaan untuk mengharungi persekitaran tidak dijangkakan serta tempoh mencabar.

-BERNAMA


Pengarang :