Salah seorang petugas di Masjid Negeri memakaikan cecair pembasmi kuman kepada jemaah bagi mengawal penularan Covid-19. Foto Twitter Amirudin Shari
ADNSELANGOR

Kaji semula larangan warga asing solat Jumaat, jemaah di masjid

SHAH ALAM, 11 JUN: Kerajaan perlu mengetatkan saringan kesihatan dan tatacara operasi piawaian (SOP) daripada melarang warga asing beribadah di masjid selepas kelonggaran syarat diberikan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga.

Rodziah Ismail yang juga EXCO Pembangunan Usahawan, Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi berkata tindakan itu menyebabkan negara dianggap tidak adil dan mengamalkan diskriminasi terhadap warganegara lain.

“Kerajaan seharusnya mengambil langkah proaktif dan mencari langkah alternatif. Tindakan kerajaan ini (melarang warga asing) memberi tanggapan negatif. Justeru, keputusan yang telah diambil ini harus dikaji semula,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Ahad lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kelonggaran syarat mendirikan solat berjemaah dan Jumaat hanya tertakluk kepada warga tempatan.

Kerajaan bersetuju secara dasar melonggarkan syarat itu berasaskan keluasan masjid khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.


Pengarang :