Nge Sze Han bercakap kepada media selepas melawat kilang Ligno Biotech Sdn Bhd di Perindustrian Balakong Jaya, Balakong pada 22 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kamera badan: PBT diberi masa hingga hujung tahun

SERDANG, 22 JUN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diberi tempoh sehingga hujung tahun untuk melaksanakan penggunaan kamera badan anggota penguat kuasa, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata langkah tersebut bagi meningkatkan kecekapan dan integriti pihak berkuasa terutama jika berlaku insiden luar dugaan ketika bertugas.

“Setakat ini penguat kuasa beberapa PBT telah mempraktikkan penggunaannya seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Kita bukan wajibkan semua penguat kuasa pakai kamera itu, tetapi jika lima anggota keluar bertugas sekurang-kurangnya seorang daripada mereka kena pakai,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang di Kawasan Perindustrian Balakong hari ini.

Sze Han berkata kos membeli kamera badan adalah berpatutan dan PBT boleh membelinya secara berperingkat mengikut kemampuan.

Pada 6 Februari lalu, seorang wanita memukul penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 manakala seminggu selepas itu tular video penguat kuasa MPSJ menjatuhkan seorang warga emas selepas dia dipukul dengan payung oleh lelaki berkenaan.


Pengarang :