Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
AGENDANASIONAL

Kaut untung RM21.6 juta, empat pengarah ditahan seleweng subsidi minyak

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pengarah syarikat disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan kuota pembekalan minyak masak bersubsidi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan kesemua empat tangkapan berkenaan.

“Berdasarkan perkiraan kasar SPRM, sindiket ini mengaut keuntungan atas bayaran subsidi berjumlah RM21.6 juta sejak beroperasi selama tiga tahun dan terdapat sembilan buah syarikat yang dikawal oleh sindiket ini.

Beliau berkata isu berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi ini adalah isu ketirisan yang mengakibatkan kerajan kerugian ratusan juta ringgit.

Kesemua suspek yang ditahan berusia diantara 30-41 tahun ditahan sekitar Selangor dan Putrajaya petang semalam.

“Selain itu, SPRM turut membekukan 12 akaun milik individu dan syarikat berjumlah lebih RM25 juta,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Khusairi berkata semakan dengan KPDNHEP mendapati sindiket ini diberikan kuota perbekalan minyak masak sebanyak 1,000 tan sebulan.

“Sepatutnya, syarikat-syarikat ini perlu memproses dan membungkus semula minyak masak yang diberikan kepada bungkusan satu kilo dan dibekalkan untuk kegunaan peruncit dan orang ramai khususnya masyarakat luar bandar.

“Apa yang berlaku, minyak masak bersubsidi ini tidak dibungkus sebagaimana yang sepatutnya dan sebaliknya dikumpul dan dieksport keluar negara. Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan bekalan minyak masak amat berkurangan di pasaran dan menjadi keluhan rakyat dan peniaga kecil,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata selain mendapat keuntungan berlipat kali ganda dengan menjualnya ke luar negara, syarikat-syarikat ini turut menuntut bayaran subsidi daripada kerajaan bagi urusan pembungkusan dan pembekalan minyak masak yang kononnya dibuat mereka.

“Kesannya dalam tempoh tiga tahun sahaja sejumlah RM21.6 juta dituntut dan diselewengkan manakala kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajkaya pagi ini untuk permohonan reman di bawah sksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dibuat atas kesalahan di bawah seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

-BERNAMA


Pengarang :