Kampus Unisel
AGENSISELANGOR

Kayak, perahu dayung tonjol keunikan pusat sukan Unisel

SHAH ALAM, 2 JUN: Pusat sukan di Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya mampu menggamit kunjungan ramai serta menawarkan pengalaman berbeza dengan kemudahan sukan air dimiliki seperti kayak dan perahu dayung.

Pengarah Komunikasi Korporat Unisel Hasril Abu Hassan berkata aktiviti sukan seperti itu jarang ditemui di institusi pengajian tinggi (IPT) lain dan sering dijadikan program sukan keluarga dalam kalangan pelajar juga masyarakat setempat.

“Malah, kita menyediakan pelbagai fasiliti sukan yang canggih dan terkini kepada semua lapisan masyarakat antaranya trek balapan, gelanggang bola sepak, bola jaring, tenis, sepak takraw serta futsal.

“Jika tidak mahu berpanas, gelanggang dalaman juga tersedia seperti badminton, bola tampar, dodgeball (bola mengelak), ping pong dan bola keranjang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata semua kemudahan sukan ditawarkan tidak terhad kepada penuntut mahupun kakitangan sahaja malah boleh diakses orang luar yang berminat melakukan aktiviti berkaitan sekali gus mencapai matlamat menjadikan Unisel sebagai universiti mesra masyarakat.

“Kepada yang berminat menyewa kemudahan ini boleh berhubung terus dengan Unisel untuk menempah slot kekosongan jika ada.

“Anda boleh terus datang ke Unisel kampus Bestari Jaya bila-bila masa, beritahu pengawal keselamatan dan seterusnya mengabadikan kenangan terindah di sini,” katanya.


Pengarang :