Lori KDEBWM yang digunakan untuk mengutip sampah domestik di seluruh negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM: Minggu pertama Aidilfitri, sampah domestik naik tujuh peratus

SHAH ALAM, 7 JUN: Sebanyak tujuh peratus peningkatan hasil sampah domestik pada minggu pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri berbanding tiga minggu sebelumnya ketika bulan Ramadan, kata ketua media dan perhubungan awam KDEB Waste Management (KDEBWM).

Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata kenaikan itu berpunca kebanyakan isi rumah tidak pulang ke kampung seperti kelaziman susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan pergerakan rentas negeri.

Beliau berkata berdasarkan analisis dibuat terhadap kuantiti sampah di kampung juga tidak menunjukkan peningkatan ketara seperti tahun sebelum.

“Hal ini secara tidak langsung membuktikan rakyat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) perayaan dalam tempoh PKPB iaitu berhari raya di rumah dan tidak pulang ke kampung,” katanya dalam kenyataan.

Mahfuzah berkata penghasilan sampah di negeri ini sepanjang tempoh PKPB kembali normal ekoran banyak industri dan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi berbanding 20 peratus penurunan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana banyak premis tidak dibuka.

“Walau apa jua keadaan termasuk pandemik Covid-19 dan musim perayaan, KDEBWM tetap beroperasi seperti biasa bagi memastikan sampah domestik yang dijana dapat diuruskan berkesan dan sistematik.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada rakyat kerana mematuhi SOP perayaan sewaktu PKPB. Bersama kita membendung penularan virus ini dan menjaga kebersihan persekitaran kediaman,” katanya.


Pengarang :