AGENDANASIONAL

KEADILAN tidak tanding PRK Chini 4 Julai depan

SHAH ALAM, 6 JUN: KEADILAN tidak bertanding bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chini yang diadakan pada 4 Julai depan, kata setiausaha agungnya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu dibuat bagi menjaga aspek keselamatan dan kesihatan pengundi yang masih menjadi kerisauan.

“Mengambil kira perkara berkenaan, KEADILAN dan Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju bahawa KEADILAN tidak meletakkan calon bagi Pilihanraya Kecil Dun Chini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifudin berkata KEADILAN berpandangan tatacara operasi piawai (SOP) yang bakal dikeluarkan bagi PRK Dun Chini akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

“Contohnya, menerusi SOP larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihanraya,” katanya.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.


Pengarang :