Pemilik Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Salim Harmanain, 29, terpaksa melupakan cita-citanya sebagai peguam berikutan kekangan dan ketiadaan kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di tempat kerja. Beliau yang kini menyambung pengajian di tahun dua Sarjana Pendidikan Psikologi UIAM, penghidap palsi serebrum jenis triplegia, di mana hanya tangan kirinya berfungsi sepenuhnya serta menggunakan kerusi roda bermotor untuk bergerak. Foto BERNAMA
RENCANA

Kekangan kemudahan halang OKU berkerjaya

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan layak bergelar peguam selepas menjalani latihan dalam kamar pada 2016, belum cukup membanggakan buat Muhammad Salim Harmanain,

Lebih malang apabila Muhammad Salim, 29, Orang Kurang Upaya (OKU) penghidap palsi serebrum jenis triplegia, terpaksa pula melupakan cita-citanya menjadi peguam.

Semuanya, gara-gara kekangan dan ketiadaan kemudahan untuk OKU di tempat kerja.

“Bukan mudah… lima tahun saya berhempas pulas menimba ilmu untuk menjadi peguam tetapi disebabkan kekangan kemudahan di tempat kerja, saya terpaksa mengalah,” katanya kepada Bernama.

“Alangkah baiknya jika banyak tempat kerja dan bangunan pejabat di negara ini menyediakan kemudahan untuk OKU,” kata Muhammad Salim yang menggunakan kerusi roda bermotor untuk bergerak kerana hanya tangan kirinya berfungsi sepenuhnya.

Menurut beliau, OKU di negara ini, ada yang mempunyai taraf pendidikan yang baik, berkebolehan dan layak memegang jawatan tertentu, tetapi disebabkan halangan seperti tiada kemudahan, hak mereka untuk berkerjaya dinafikan.

Di sebalik kekurangan dirinya itu, Muhammad Salim anak tunggal dari Banting, Selangor ini, tetap cekal untuk menyambung pengajian dan kini berada pada tahun dua Sarjana Pendidikan Psikologi di UIAM.

ELAK PILIH KASIH

Mengulas cabaran OKU menempuh alam pekerjaan, Muhammad Salim berkata stigma masyarakat yang menganggap OKU sebagai insan yang lemah dan sering berasa simpati dan belas kasihan terhadap mereka, perlu diubah.

Katanya, ini penting agar golongan OKU berasa lebih yakin, dapat berdikari serta menyesuaikan diri dalam alam persekitaran tempat kerja yang sebenar.

“Kebanyakan masyarakat apabila tahu OKU, akan ada persepsi seperti kasihan, tidak mampu mengurus diri, selekeh, mengalami kecacatan fizikal dan pelbagai prasangka lain.

“Stigma sebegitu sebenarnya hanya membuatkan OKU lemah dan tidak dapat menonjolkan kemampuan dan potensi sebenar diri mereka,” katanya menambah mereka juga akan hilang keyakinan untuk bersosial dengan masyarakat.

Bagi Muhammad Salim, dalam mengharungi pekerjaan, OKU juga harus diberikan peluang melalui tempoh percubaan sebagaimana individu normal.

“Jika orang lain ada tempoh percubaan selama tiga hingga enam bulan, OKU juga harus diberikan peluang sama agar majikan boleh menilai sama ada mereka layak atau tidak. Janganlah ditolak ‘mentah-mentah’atau ‘double-standard’ (pilih kasih),” katanya.

Justeru saran beliau, semua pihak termasuk majikan, rakan sekerja, masyarakat dan anggota keluarga perlu terus memberi sokongan dan semangat untuk membolehkan OKU membina keyakinan diri, bersosial, berdikari dan bukannya menjadi liabiliti.

Mengulas lanjut mengenai kekangan kemudahan OKU di negara ini, Muhammad Salim berkata, ada kalanya senario berkenaan menyebabkan OKU sukar menjalani aktiviti harian sebagaimana individu normal, termasuklah melakukan ibadah di masjid.

Katanya, tidak banyak masjid di negara ini yang mesra OKU kerana binaan tangga masjid kadang-kala agak tinggi, tiada laluan khas atau tempat letak kereta atau lif untuk OKU dan jarak tandas yang terlalu jauh.

DASAR SATU PERATUS OKU BEKERJA

Muhammad Salim berkata, dasar satu peratus OKU bekerja dalam sektor awam yang diperkenalkan kerajaan sejak 1988, belum mencapai sasaran.

“Sudah lebih 30 tahun (dasar) diwujudkan… majikan tidak kiralah di sektor awam atau swasta, perlu lebih terbuka untuk menerima OKU dan menawarkan peluang kerjaya yang sesuai dengan potensi dan kelayakan mereka,” katanya dalam nada kecewa.

Untuk rekod, pada 21 Nov 2018, Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu, Datuk Mahfuz Omar Menteri mengakui jumlah OKU dalam sektor awam masih terlalu rendah iaitu hanya 0.29 peratus daripada keseluruhan kira-kira 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara.

Statistik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pula menunjukkan jumlah pengisian OKU dalam perkhidmatan awam sehingga 30 Jun 2019, adalah seramai 3,686 pegawai ataupun 0.29 peratus.

Dilaporkan hanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencapai sasaran satu peratus OKU dalam sektor awam pada 2017.

Menurut Muhammad Salim, majikan mungkin tidak menyedari insentif yang disediakan kerajaan kepada syarikat mahupun agensi yang menggaji atau menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU, sekali gus menyebabkan dasar berkenaan gagal dicapai.

Antara insentif yang disediakan termasuk pelepasan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan beberapa insentif lain kerana menyediakan kemudahan mesra OKU di dalam bangunan.

“Sikap menggeneralisasikan OKU sebagai hanya mampu membuat kerja-kerja fizikal yang mudah dan ringan (seperti di restoran makanan segera) juga perlu diperbetulkan kerana OKU terdiri daripada pelbagai kategori.

“Terdapat OKU yang berkebolehan dalam bidang pengurusan dan pembuat keputusan,” kata Muhammad Salim sambil menyarankan agar OKU diberikan jawatan setanding dengan kelulusan mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB) Silatul Rahim Dahman berkata kegagalan merealisasikan dasar berkenaan adalah kerana kelemahan dari segi pelaksanaan dan kurang mendapat sokongan agensi dan kementerian terlibat.

“Dalam memastikan lebih ramai OKU mempunyai peluang pekerjaan, kerajaan boleh menubuhkan industri khas yang diusahakan sendiri oleh OKU dengan bantuan minimum masyarakat,” kata Silatul Rahim yang juga pengasas bersama MFB.

Hakikatnya katanya, isu OKU untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan keupayaan fizikal dan mental mereka, sebenarnya merupakan isu lama yang tidak pernah selesai.

Majikan sukar menerima pekerja OKU atas pelbagai alasan lebih-lebih lagi syarikat yang berorientasikan keuntungan dan produktiviti maksimum.

Tambah beliau, selain faktor kekangan kemudahan di tempat kerja, isu seperti infrastruktur sistem pengangkutan dan persekitaran awam yang tidak mesra OKU, turut menghalang OKU bekerja.

Tidak dinafikan, tahap kemahiran dan kelulusan akademik yang dimiliki OKU juga akan menentukan kebolehpasaran OKU dalam alam pekerjaan kelak, katanya.

KESINAMBUNGAN SOKONGAN OKU

Mengulas isu masa depan kerjaya untuk OKU, Pengarah Pusat Genius Kurnia yang juga pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata program latihan dan mentoring yang komprehensif sejak di peringkat sekolah wajar dilaksanakan sebagai persediaan remaja OKU menempuh alam pekerjaan.

Ujar beliau, kesinambungan bimbingan dan pementoran yang konsisten dapat menentukan hala tuju dan membantu OKU mendapatkan pekerjaan mengikut kesesuaian diri mereka.

“Kita perlu memastikan sistem sokongan untuk OKU tidak tersekat atau separuh jalan. Ia seharusnya bermula sejak dari peringkat sekolah dan berteruskan ke kolej, institut kemahiran sehinggalah universiti agar OKU tidak terumbang-ambing selepas tamat belajar,” katanya.

Tambahnya, isu mengenai kebajikan OKU seharusnya menjadi perkara pokok yang perlu diberikan perhatian serius dan ditambah baik oleh kerajaan.

“Kita mahu bergerak ke arah pemerkasaan OKU dan menjaga hak-hak mereka. Selagi kita hanya berfikir dari sudut kebajikan, maka saya lihat kemajuan OKU di Malaysia akan bergerak perlahan,” katanya.

AKTA OKU

Mengakui Malaysia sudahpun mempunyai polisi yang baik dalam membangunkan OKU, Hasnah bagaimanapun berkata pelaksanaan dan pemantauan harus dipertingkatkan termasuk dalam aspek perundangan.

Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, terdapat akta khusus untuk OKU iaitu Americans with Disabilities Act (ADA) 1990 – adalah undang-undang sivil yang melarang sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan ketidakupayaan OKU.

“Ini termasuk dalam pekerjaan, sekolah, pengangkutan atau sebarang tempat awam mahupun swasta. Tujuannya adalah untuk memastikan OKU mempunyai hak dan peluang yang sama seperti orang lain,” katanya.

“Dalam akta itu, kerajaan akan memberikan insentif kepada majikan atau organisasi yang memohon geran dengan syarat mereka dapat membuktikan ada menggajikan OKU,” katanya menambah aspek inilah wajar diberi perhatian oleh kerajaan.

Bagi Malaysia, katanya, kerajaan boleh mencontohi pendekatan AS dalam melindungi hak dan menjamin peluang sama rata kepada OKU selain memperluaskan pemberian insentif kepada sektor swasta yang menggaji OKU.

Jika kita (kerajaan) tidak bertegas dalam memastikan OKU mendapatkan pekerjaan, lambat laun kita terpaksa menerima hakikat bahawa OKU akan sentiasa menjadi beban kepada sistem kebajikan negara, katanya.

“Adalah lebih ekonomik untuk kita melatih, mengajar dan menggaji OKU daripada membiarkan mereka menjadi penerima bantuan kebajikan seumur hidup,” katanya mengakhiri perbualan.

Disunting oleh Rafe ‘aton Md. Ali

– BERNAMA


Pengarang :